"Kalau Saya Sibuk Menjaga Aurat Sendiri Takkanlah Sesuka Hati Nak..." - Noorkhiriah Jawab Isu Tak Kongsi Gambar Bersama Amyra Rosli

Asraf Aided
Januari 10, 2019 11:29 MYT
Pelakon Noorkhiriah mengatakan dia tidak berkogsi foto bersama wanita yang mendedahkan aurat di akaun media sosialnya.
Perkara itu dijelaskan menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
Kenyataan itu sekaligus menjawab persoalan netizen yang bertanya mengapa dia tidak pernah berkongsi foto bersama Amyra Rosli sedangkan mereka berlakon bersama dalam drama rantaian Nur.
Menurut Noorkhiriah, walaupun banyak pendapat mengenai hukum mempamerkan aurat orang lain, dia memilih untuk mengelakkan diri dari melakukannya.
"Kalau saya sibuk menjaga aurat saya, takkanlah sesuka hati saya nak pamerkan aurat orang lain di sini.
"Walaupun banyak pendapat tapi saya ambil pendekatan untuk mengelakkan diri dari mempamerkan aurat wanita lain di Instagram saya.
"Andai tiba-tiba wanita tidak menutup aurat ada dalam gambar atau video saya, saya akan minta izin dahulu sebelum post," tulisnya.
Dalam pada itu, Noorkhiriah meminta semua pihak agar tidak salah faham dengan kenyataan terbabit dengan mengatakan dia bukan sahaja tidak berkongsi gambar bersama Amyra, malah ia melibatkan wanita lain juga.
"Saya harap penjelasan ini jelas dan tiada pihak yang akan tersinggung," tambahnya lagi.
Noorkhiriah mulai aktif di industri hiburan tempatan pada tahun 1999 dan berjaya mengekalkan popularitinya menerusi lakonan dalam filem serta drama tempatan.
#Amyra Rosli #Amyra Rosli #noorkhiriah