Pelakon Hanis Zalikha mengakui sebagai ibu dia harus memberikan yang terbaik kepada anaknya, Yusof Iskandar supaya dapat membesar dengan sihat.

Menerusi sebuah muat naik di akaun Instagram (IG) miliknya, Hanis telah berkongsi satu tips kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya lebih peka mengenai suntikan imunisasi anak mereka.

Menurut Hanis, suntikan imunisasi adalah penting untuk menggelakan kanak-kanak daripada diserang penyakit yang berbahaya dan dia mengakui sedih apabila ada ibu bapa yang bersikap sambil lewa mengenai perkara itu.

"I love my family. Semua orang sayangkan keluarga mereka. Hancur hati Mommynis bila baca dan lihat bayi serta anak-anak kecil terkena penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan imunisasi.

"Apatah lagi penyakit yang telah lama terhapus, kemudian kini wujud kembali kerana ada yang memilih untuk tidak berikan suntikan imunisasi anak-anak.

"Anak dan keluarga adalah amanah Allah. Jagalah mereka dan secara tidak langsung kita menjaga kesejahteraan masyarakat.

"Penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi merupakan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan morbiditi yang tinggi, mortaliti (kematian) dan risiko samada penyakit itu dapat dirawat atau tidak. Antaranya penyakit tibi, measles (campak), mumps (beguk), rubella, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), chicken pox (cacar), Japanese encephalitis dan lain-lain.

"Penyakit-penyakit berjangkit ini kerap menyerang kanak-kanak dan mempunyai komplikasi yang serius berbanding penyakit-penyakit lain," katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Muat naik tersebut telah menerima lebih 100,000 likes daripada pengikutnya di akaun IG.

Rata-rata pengikutnya bersetuju dengan perkongsian itu dan mereka berharap agar ibu bapa muda di luar sana supaya tidak lupa beri suntikan imunisasi untuk anak-anak kecil agar dapat terhindar daripada penyakit berbahaya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi