“Kalau Tak Kerana Zizan Razak Saya Mungkin Tak Berpeluang…” – Shiha Zikir

Fiza Kamarudin
September 23, 2020 08:26 MYT
Artis versatil, Shiha Zikir mendedahkan berpeluang berlakon filem kerana pelawak dan pelakon Zizan Razak.
Shiha berkata, jika tidak kerana cadangan Zizan rezeki dan peluang untuknya berlakon filem belum tentu tiba.
“Kalau sebelum ini pelawak Sharif Zero percaya bakat berlawak apabila menjadi individu pertama yang berani mengetengahkan saya sebagai artis undangan ketika program Bintang Bersama Bintang sebelum ini.
“Kini, Zizan pula yang menyalurkan peluang dan kesempatan indah untuk saya berkongsi bakat di medium filem buat julung kali.
“Dapat pula watak utama sebagai heroin, saya anggap memang rezeki terpijak. Sebab itu saya sangat berterima kasih dan terhutang budi dengan Zizan. Dapat juga merasa berlakon filem,”katanya.
Shiha bakal muncul dalam filem sulungnya, Hantu Bonceng arahan Yusry Abdul Halim bergandingan dengan Zizan.
Pemilik nama penuh, Nurshiha Mohd Zikir ini mengakui sudah sekian lama mengintai peluang beraksi di layar perak.
“Bayangkan keinginan berlakon filem sejak dulu, tapi tak ada rezeki. Alih alih rezeki itu datang melalui Zizan.
“Semuanya bermula masa jumpa Zizan di sebuah acara. Kemudian ketika bersambung makan selepas acara itu, dia ada tanya nak berlakon filem. Saya ingat dia main main.
“Saya cakap tak pernah berlakon filem. Jadi memang teringin nak mencuba nasib. Pada masa sama dia ada cakap mahu cadangkan nama saya untuk sebuah filem. Akhirnya saya dipanggil untuk berlakon filem Hantu Boceng 2.0 bergandingan dengan dia,” katanya.
Penggambaran filem itu memakan masa selama 12 hari dan sudah pun tamat baru baru ini.
“Ia satu pengalaman manis dan indah buat saya dapat berlakon filem. Saya pegang watak wanita yang sangat misteri.
“InsyaAllah ada rezeki nak lagi bekerjasama dengan Zizan. Tak kiralah untuk nyanyian atau berlakon untuk waktu mendatang,” katanya.
#Zizan Razak #Shiha Zikir #Hantu Bonceng 2