Pelakon Mira Filzah mendapat kecaman selepas jawapannya dalam sesi 'Ask Me Questions' di Instagram Stories baru-baru ini diambil sebagai sumber kepada beberapa artikel di media tempatan.

Kata Mira jawapan atau kenyataannya menerusi sesi 'Ask Me Questions' di Instagram adalah buah fikirannya untuk peminat yang bertanya.

Malah katanya lagi, tidak adil bagi segelintir pihak yang menjadikan jawapannya di Instagram sebagai senjata untuk kembali mengutuk dan memperlekehkannya.

"Apa sahaja yang saya kongsikan di 'Ask Me Questions' di Instagram adalah cara untuk saya memberitahu dan meluahkan pendapat dengan peminat dan pengikut saya.

"Saya tidak pernah ditemubual berhubung soalan terbabit, ia datang daripada saya sendiri.

"Adalah tidak adil untuk saya dan Emir dihakimi hanya kerana anda membaca artikel berdasarkan pandangan peribadi saya untuk peminat.

"Tidak pernah juga untuk saya memasuki ruang peribadi anda dengan berita sedemikian kerana ia diambil daripada ruang peribadi saya pada asalnya," kata Mira.

Nasihat Mira agar pihak yang kurang senang dengan sebarang laporan mengenai dirinya agar mengabaikan perkara terbabit.

"Kalau tiba-tiba nampak artikel baharu keluar lagi berdasaran kandungan Instagram Stories saya dan ada yang tidak menyenanginya jadi tak payah baca. Abaikan saja.

"Saya tidak meminta untuk artikel diterbitkan dan saya tidak menyalahkan media juga. Itu tugas mereka.

"Kalau anda tidak suka, abaikannya," tambah Mira lagi.



Mira turut memuat naik paparan skrin komen yang dilontarkan pengikut Instagramnya yang muak dengan kisah perkahwinannya yang digembar-gemburkan sejak September lalu.



Malah, baru-baru ini juga tular video bersama suami ketika menziarahi kubur arwah bapa mentuanya hingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.