Berita
"Kalau Terperangkap Dalam Hubungan Toksik, Jangan Teruskan" - Vanessa Lebih Rela Putuskan Cinta?
Setiap perhubungan dalam percintaan pasti ada cabaran dan ragamnya tersendiri dalam melayan kerenah pasangan masing-masing.
Begitupun, apa yang membimbangkan apabila ada yang masih cuba mempertahankan satu-satu hubungan itu biarpun hakikat sebenar ia menjadi toksik kepada diri.
Bagaimanapun lain pula pendirian penyanyi yang juga bintang kelahiran The Masked Singer, Vanessa Reynauld ini apabila bercakap soal perhubungan cinta.
"Sekiranya terperangkap dalam hubungan toksik, jangan teruskan.
"Hal itu hanya menambah derita sendiri semata-mata kerana percaya masih sayangkan dia dan tidak mungkin bertemu yang lebih baik.
"Tinggalkan saja kerana kamu berhak mendapat seseorang yang jauh lebih menghargai," katanya.
Lebih istimewa, mesej itu jugalah yang cuba disampaikan Vanessa menerusi single terbaharunya berjudul Putus.
"Putus mengisahkan pasangan bercinta yang menempuh turun dan naik dalam hubungan mereka. Lagu Putus ini bercerita mengenai hubungan yang sudah tawar dan sangat toksik.
"Ini disebabkan sebelah pihak melakukan sesuatu hal yang mengakibatkan mereka berdua sudah tidak boleh bersama meskipun masih saling mencintai," katanya yang memberitahu lagu tersebut merupakan ciptaan komposer Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan.
Begitupun, kata Vanessa lagu tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kisah atau pengalaman lampau dirinya.
"Saya cuma belajar plot cerita dalam lagu ini dan menyampaikan dengan pengalaman yang pernah saya lihat sendiri dalam perhubungan orang lain.
"Saya sendiri tidak pernah melalui pengalaman sebegini," katanya yang juga pernah menyertai program realiti Astro Ceria Megastar.
Must-Watch Video