Vokalis kumpulan Wings, Awie terharu dengan sambutan dan sokongan peminatnya terhadap Konsert Laksamana Metal Wings x Bunkface yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Awie, peminat merupakan kekuatan dan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang konsert berlangsung.

“Kalau tuhan kata banyak ni, banyak inilah. Tepukan untuk semua yang hadir, terima kasih banyak-banyak sayap-sayap Wings,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Awie yang terkenal dengan sikap lucunya juga turut berjaya mengambil hati peminat dengan berseleroh mengenai lagu-lagu bernada tinggi yang dinyanyikan.

“Buat lagu tak ingat tua, sekarang menyanyi rasa nak buasir pun ada, tapi itulah keghairahan sewaktu zaman muda. I love you,” ujarnya.

Seramai 3,000 peminat hadir ke Konsert Laksamana Metal Wings x Bunkface. Menerusi konsert tersebut, Awie telah menyampaikan sebanyak 20 buah lagu yang membuatkan peminat terpegun dengan kehebatan vokalnya.

Menariknya, konsert yang berlangsung di memenuhi Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu dihadiri oleh peminat yang mengenakan busana pahlawan Melayu serta lengkap bertanjak sebagai tanda sokongan terhadap tema Wings.

Konsert yang buat julung kali menggabungkan genre muzik punk dan rock ini juga menyaksikan kehebatan Bunkface ketika membuat persembahan di pentas yang sama.

Antara lagu popular yang disampaikan oleh Wings antaranya Sejati, Sayap Ilusi dan Bujang Senang.

Manakala Bunkface pula mempersembahkan lagu Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku, Darah Muda dan Revolusi.

Sedikit kelainan diberikan, sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada Wings, Bunkface juga turut menyayikan lagu kumpulan popular berkenaan berjudul Bernafas Dalam Lumpur.