ANTARABANGSA
Kalau Versi R Terlaju Laju, Volkswagen Golf GTI Clubsport Ini Mungkin Pilihan Anda
Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini, membawakan peningkatan kuasa yang signifikan dan tahap prestasi lebih tinggi berbanding GTI biasa.
Untuk varian Clubsport, enjin EA888 evo4 2.0-liter empat silinder itu ditambah baik dengan perisian ECU baharu, tekanan suntikan bahan api yang lebih tinggi dan pelbagai lagi. Hasilnya, kuasa kuda dan tork meningkat dari 245PS/370Nm kepada 300PS/400Nm.

Aspek casis turut ditala menerusi sistem suspensi yang lebih rendah (15mm) dan ‘camber’ positif untuk tindak balas stereng lebih pantas. ‘Differential’ elektromekanikal pada gandar hadapan kini diintegrasikan ke dalam sistem Vehicle Dynamics Manager, membolehkan pengunciannya diselaraskan mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Sepadan dengan enjinnya yang lebih berkuasa, sistem brek Golf GTI Clubsport turut dipertingkatkan dengan cakera berukuran 18 inci dan angkup dua piston. Volkswagen turut mengkalibrasi semula ABS dan ESC untuk prestasi membrek yang lebih baik, di samping pemanduan yang lebih agresif.

Dari segi penampilan, versi Clubsport tampil lebih agresif dengan bukaan udara bampar hadapan yang lebih besar dan elemen panduan angin berbentuk sayap. Bersama dengan spoiler belakang, elemen terbabit dikatakan boleh mengurangkan ‘lift’. Sama seperti GTI, model ini mempunyai muncung ekzos berkembar, namun jaraknya ditambah sebanyak 40mm.

Di dalam, jahitan kontras merah menghiasi segenap ruang kabin termasuk pada tempat duduk, perehat tangan, karpet lantai dan stereng. Upholsteri fabrik ArtVelours disertakan secara standard, namun ini boleh dinaik taraf kepada upholsteri kulit.

Must-Watch Video