Anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz mendedahkan yang dia dan ahli kumpulannya bakal muncul dengan single baharu, selepas sekian lama vacum sebagai penghibur pentas.

Azira berkata, penerbitan single berkenaan bukanlah dikira sebagai comeback, tetapi merupakan sebuah penerbitan pasca pandemik.

“Ia bukanlah comeback, sebab De Fam masih ada. Cuma kita tak boleh keluarkan lagu disebabkan pandemik COVID-19.

“Disebabkan itu, selepas semuanya dilihat kembali reda, kami gunakan masa yang ada ini untuk menerbitkan lagu baharu,” katanya kepada Gempak.

Azira berkata, genre bagi single tersebut sedikit berbeza dengan lagu-lagu sebelum ini. Cuma, buat masa sekarang, dia tidak boleh berkongsi lanjut mengenai butiran single baharu mereka.

“Untuk kali ini, kita cuba genre yang agak berbeza. Kita pun sedia maklum yang Manggis pun dah bertudung dan dari sisi lain, single ini juga menunjukkan kematangan kami bertiga.

“Dan kami tidak akan menari dalam single ini. Tapi jangan risau, untuk single akan datang, kami masih menari sebab genre asal masih akan kami kekalkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kumpulan Dolla yang dilihat sebagai pelapis De Fam, Azira berkata, dia berbangga dengan perkembangan industri muzik tempatan yang mula membuka peluang dan menerima penyanyi berkumpulan wanita.

“Benda sebegini bagus kerana kita perlukan variasi dalam industri. Kita tidak boleh berharap pada satu sahaja. Bagi saya, ada variety tu bagus dan industri akan berkembang.

“Selepas Dolla debut, banyak kumpulan lain yang turut debut dan ini merupakan petanda yang bagus. Saya bangga melihat perkembangan ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azira kini muncul dalam sebuah filem berjudul Bunga Dan Kayu.

Filem ini mengisahkan tentang Noah (lakonan MK K-Clique) seorang selebriti terkenal tanah air sengaja memilih Bunga (Azira) sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah.

Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon. Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1,001 bencana, bukan hanya pada Bunga tetapi Noah juga.

Selain MK, dan Azira, Bunga Dan Kayu juga membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Zalif Sidek, Azad Jasmin, Kazar, Elly Arifin dan Yazmin Aziz.

Bunga Dan Kayu bakal temui penonton Syawal ini iaitu bermula 3 Mei 2022, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.