Pelakon Jordan Voon, mengaku tidak berfikir panjang selepas menerima tawaran untuk membintangi filem Olympic Dream.

Pelakon Terbaik Anugerah Golden Awards 2017 itu berkata sebaik sahaja membaca skrip yang diserahkan Don Hoe kepadanya, hati terus tertarik.

“Kali pertama saya baca skrip saya sudah tertarik. Saya rasa pengarah Don Hoe sangat berpandangan jauh dan tahu apa yang beliau inginkan.

“Saya melihat kesungguhan dan semangat beliau, jadi saya bersetuju untuk terlibat dalam filem ini dan saya yakin Don Hoe akan menghasilkan lebih banyak karya yang hebat pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Jordan lagi, dia seronok berada di lokasi penggambaran yang terdiri daripada pelbagai etinik.

“Di set penggambaran filem ini, kita semua bergaul mesra, tidak mengira bangsa Melayu, Cina atau India.

“Jadi saya rasa inilah keistimewaan tanah air kita, majmuk dan semangat patriotisme itu sentiasa ada walaupun ia hanya penggambaran.

“Tetapi semangat yang dipamerkan sangat-sangat luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu Jordan sempat berpesan kepada semua agar menonton filem Olympic Dream dengan semangat patriotisme.

“Saya harap anda semua akan menyokong filem ini dengan penuh semangat patriotisme. Filem ini akan membuka mata anda mengenai semangat setiakawan dan sentiasa berusaha untuk menggapai impian.

“Sekiranya anda mempunyai impian jangan mudah berputus asa. Apa itu impian? Impian ialah apabila ingin melakukan sesuatu, anda berusaha ke arah itu untuk mencapai matlamat anda.

“Sebagai contoh impian watak Uncle Quan ingin memasuki sukan Olimpik. Namun sesuatu telah berlaku dan menghalangnya untuk meneruskan impian tersebut

“Jadi dia mengetepikan impian tersebut buat sementara waktu tetapi dia meneruskan impian tersebut melalui Anna,” katanya.

Naskah hasil produksi Full Billion Entertainment ini mempertaruhkan gandingan generasi baharu dan lama sebagai sandaran utama, antaranya pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem & TV Ramsgate di England, Maya Karin.

Selain Maya, filem berkenaan turut menampilkan adik Annabelle Tan (pelakon filem Hong Kong-Malaysia) dan bekas pemain kebangsaan dan kini jurulatih badminton, Adelle Ng.

Olympic Dream turut menyaksikan penampilan istimewa legenda badminton negara seperti Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit serta bekas pemain kebangsaan, Janice Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun.

Jangan lupa untuk saksikan filem tentang sukan badminton, Olympic Dream yang di pawagam rumah anda, Astro First hari ini!

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.