Kali Pertama Dengar Lagu Anta Permana, Datuk Siti Dah Tertarik

Mya Amri
September 21, 2018 09:14 MYT
Penyanyi kesayangan Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan single terbaru berjudul Anta Permana.
Menurut Siti, dia sudah tertarik dengan lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong ini sewaktu pertama kali mendengarnya.
“Tanpa berfikir panjang, Siti bersetuju untuk merakamkan lagu tersebut kerana yakin dengan bakat yang dimiliki oleh dua komposer muda ini.
“Anta Pernama merupakan kerjasama yang pertama di antara Siti Nurhaliza bersama Hael Husaini dan Ezra Kong.
“Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya sejak Februari 2018 dan berjaya merealisasikannya apabila tertarik dengan demo yang dihantar pada bulan Mei,” katanya.
Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu Klasik yang bermaksud `tidak terkira' atau infiniti.
Lagu ini mengisahkan cinta sejati yang tiada bandingannya dan pemilihan judul lagu ini selain maknanya yang bertepatan lirik lagu, Siti juga berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.
Tambah Siti lagi, dia menaruh harapan yang tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap agar para peminat muzik tempatan akan menyukainya.
Ibu kepada Siti Aafiyah ini juga menyifatkan Anta Permana adalah sebuah lagu yang segar, mesra telinga (catchy) serta ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik.
Siti juga telah menjalani penggambaran muzik video yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production.
Muzik video ini dijangka akan boleh ditonton di youtube Vevo DatoSNurhalizaVEVO bermula minggu hadapan.
Single terbaru Datuk Seri Siti Nurhaliza telah pun dilancarkan di semua pelantar digital bermula hari ini. Lagu tersebut boleh dilanggani di Apple Music (itunes), Spotify, Joox dan KKBox.
#Penyanyi #Penyanyi #Datuk Seri siti Nurhaliza