READ
Kali Pertama Ke CALIFORNIA? — Ini Tips Kembara ‘Sempoi’ yang Boleh Anda Ikuti
Oleh: Norhaizan Ahmad

Kunjungan ke Amerika Syarikat bukanlah kali pertama kerana sebelum ini saya pernah menyelusuri keindahan dan kesibukan kota New York. Justeru, kembara selama dua minggu ini merentasi beberapa negeri lain termasuk California.
Yang seronoknya perjalanan saya kali ini ditemani rakan-rakan sekolah, malah kunjungan ini juga memberi peluang kepada saya melawat seorang teman baik yang bermastautin di bumi Uncle Sam itu,” ujar jurusolek Sahir Sabri ketika dihubungi.
“Memandangkan ada kawan yang tinggal di Amerika, maka percutian ini menjadi lebih mudah. Maklumlah kami ada pemandu pelancong bertauliah, hahaha... Jadual perjalanan juga lebih bebas, tidak seperti mengikut agensi pelancongan.”

Kredit foto: Sahir Sabri
“Untuk memudahkan kembara ini, kami menyewa kereta untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain misalnya San Francisco, San Deigo dan Los Angeles. Memang best jalan-jalan sambil memandu sendiri.
Kami boleh berhenti di mana-mana persinggahan yang kami suka. Bayaran untuk kereta sewa juga agak berpatutan. Kami membelanjakan lebih kurang USD1,000 untuk sewaan kereta.”

Kredit foto: Sahir Sabri
“Setiap kota yang disinggahi menawarkan identitinya yang tersendiri. Jika San Francisco sinonim dengan Golden Gate Bridge selain kotanya menawarkan elemen artistik yang memukau pandangan, Los Angeles pula terkenal dengan tempat-tempat popular misalnya Hollywood.
Jika bernasib baik dapat ketemu sama barisan selebriti ternama dunia yang berjoging di kawasan ini. Manakala San Deigo lebih kepada gaya Mexico dan family oriented.”

Kredit foto: Sahir Sabri
“Kami juga sempat mengunjungi Big Bear Lake untuk bermain ski buat kali pertama. Tidak mudah ya untuk mengimbangi badan ketika bermain ski. Apa pun itulah pengalaman paling berharga buat saya.
Walaupun salji buatan kerana kehadiran Musim Sejuk kali ini agak lewat menyebabkan salji belum turun ketika kami berada di sana, namun saat indah ini mungkin tidak akan terpadam daripada ingatan.”
“Bab makan-makan tidak menimbulkan masalah kerana di sini banyak restoran dan kedai makanan halal. Antara yang terkenal adalah The Halal Guys.
Anda mesti cuba makanan yang dijual di sini antaranya kebab dan nasi briani. Cuma sos mereka lebih pedas berbanding sos cili di Malaysia.”