Penyanyi Fara Hezel terkejut apabila ibunya, Hazelina Mat Jalil mendakwa adiknya, Aiman Tino kini telah menghilangkan diri.

Malah Fara memberitahu kali terakhir dia berjumpa dengan Aiman adalah pada tahun lalu.

“Allahuakhbar, mengenai Aiman tu saya tak tahu apa yang berlaku. Tahu-tahu ibu muat naik status begitu. Nak cakap lebih-lebih pun tak tahu apa-apa.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Aiman pada Disember tahun lalu. Itu pun ketika saya pulang ke kampung untuk berpantang selepas melahirkan anak pertama.

“Kini saya menetap di Terengganu bersama suami dan anak,” katanya kepada Gempak ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Fara diminta mengulas mengenai kapsyen yang dimuat naik ibunya di Instagram yang meluahkan rasa terkilan terhadap adiknya yang didakwa mula mengabaikan kerjaya seninya dan menghilangkan diri.

Lebih hangat lagi apabila ibunya mendakwa anaknya itu dikawal oleh seorang wanita yang dipercayai kekasihnya.

“Kalau dah tak nak jadi artis sila buat pengumuman jangan susahkan kami. Macam tu lah kalau dah dikongkong ‘betina’, telefon tak angkat.

“Wartawan dan stesyen televisyen cari. Harap maklum pada yang berkenaan,” katanya menerusi Instagram.

Sementara itu, usaha Gempak untuk mendapatkan Aiman serta ibunya untuk mengulas lanjut mengenai isu ini masih belum berhasil.