"Kami Beraya Tanpa Kehadiran 2..." - 12 Tahun Achik Spin Pergi, Tajul Rindu Arwah Abang
08/05/2022 01:50 MYT
Tiada apa yang lebih dirindukan saat tibanya lebaran selain ingatan penyanyi Tajul terhadap arwah abangnya, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari, atau lebih popular dengan panggilan Achik Spin.
Tajul berkata, dia benar-benar merasai pemergian arwah abangnya kerana hubungan mereka berdua sebagai dua beradik sangat rapat.
“Sedar tak sedar dah 12 tahun Achik pergi. Memang ada rasa sedih, kami kan adik beradik dan kami memang rapat.
“Justeru, bila datangnya bulan Ramadan dan Syawal, dia terus jadi ingat dengan arwah. Tambahan pula arwah ayah telah pergi, jadi sekarang kami beraya tanpa kehadiran dua orang yang tersayang di sisi,” katanya.
Berkongsi mengenai kenangan lama bersama, Tajul menjelaskan yang tempoh hubungannya dengan Achik berlaku dalam keadaan yang sangat singkat memandangkan ketika itu usianya masih kecil, sementara kerjaya abangnya sebagai penyanyi juga agak sibuk.
“Jujurnya, hubungan saya dan arwah ketika saya masih kecil memang rapat. Tetapi, bila dah membesar, hubungan kami semakin menjauh.
“Ketika saya di sekolah rendah, darjah tiga atau empat, saya dan arwah jarang berjumpa kerana dia sibuk dengan kerjaya. Jadi, dia memang jarang pulang ke rumah. Kalau ada masa nak jumpa pun ketika puasa dan raya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Achik yang juga vokalis kumpulan Spin meninggal dunia pada 17 April 2010 dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (Lekas).
Achik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan.