“Kami Berpisah Cara Baik” - Luqman Hafidz Mengaku Sudah Bercerai Sejak Jun
Mya Amri
30/12/2022 04:58 MYT
30/12/2022 04:58 MYT
Teka-teki mengenai status rumah tangga Luqman Hafidz akhirnya terjawab selepas pelakon itu mengesahkan sudah dengan isterinya Nurul Atiqah Mad Apandi, 31 pada Jun lalu.
Luqman memaklumkan berita itu menerusi satu kenyataan di akaun Instagram hari ini.
Bagaimanapun Luqman menjelaskan mereka berpisah secara baik dan berharap orang ramai dapat menghormati dan memberikan ruang kepada dirinya.
“Seperti semua sedia maklum, pihak media ada bertanyakan mengenai keadaan dan status rumah tangga saya.
“Di sini, sampai masanya untuk saya kongsikan dan mengesahkan yang saya sudah pun berpisah dengan isteri pada bulan Jun yang lalu.
“Kami berpisah cara baik di mahkamah. Sekarang fokus kami adalah memberikan kehidupan yang baik pada anak kami.
“Saya sedar status saya sebagai anak seni tak lari dari perhatian masyarakat. Justeru saya tampil memberikan kenyataan ringkas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tanda tanya berterusan dari mana-mana pihak.
“Semoga tiada lagi spekulasi yang timbul selepas ini. Saya berharap agar pihak media khususnya dapat memberikan ruang kepada saya dan menghormati keputusan ini bagi menjaga hati keluarga saya juga bekas mentua,” jelasnya.
Dalam kenyataan yang sama, Luqman menyatakan fokusnya kini adalah untuk bekerja dan mencari rezeki.
“Saya mohon maaf atas segala kekalutan sebelum ini. Fokus saya sekarang adalah kerja keras bagi mencari rezeki dan sebagai seorang bapa, tanggungjawab ini adalah keutamaan saya.
“Saya pohon semua titipkan doa yang baik2 dan saya doakan yang terbaik juga buat kalian. Terima kasih,” tulisnya.
Sebelum ini, Luqman memberitahu media bahawa dia belum bersedia untuk menjawab spekulasi berkaitan rumah tangganya yang didakwa sudah berakhir.
BACA: Rumah Tangga Didakwa Bermasalah, Luqman Hafidz; “Saya Belum Bersedia Ulas Spekulasi Netizen”
Terdahulu, Luqman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Eve Laura pada 6 Februari 2021 yang kini berusia setahun.