Penyanyi Siti Sarah Raissuddin melahirkan rasa bersyukur selepas suaminya, pelawak Shuib Sepahtu selesai memberi keterangan berhubung kes pengubahan wang haram kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

Melalui muat naik di akaun Instagramnya, @sitisarahraissuddin, tengah malam tadi, penyanyi itu berkongsi foto dirinya bersama Shuib di hadapan bangunan SPRM sambil tersenyum.

"Alhamdulillah syukur...Kami dipanggil hanya untuk memberi kerjasama," tulis Sarah yang memakai tudung berwarna hitam di dalam foto tersebut.

Di kapsyen yang sama, Sarah menjelaskan kerjasama yang diberikan kepada pihak SPRM adalah sebagai tanda mereka menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Kami menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," tulisnya lagi.



Perkongsiannya itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Banyak yang memberi kata semangat termasuk dari rakan selebriti seperti Fad Bocey.

"Semoga kalian dilindungi dirahmati Allah SWT selalu," kata Fad Bocey.

Terdahulu media melaporkan pasangan suami isteri artis dan selebriti yang juga usahawan terkenal, adalah antara individu yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas dijemput di kediaman mereka kira-kira jam 4 pagi tadi.

Sementara itu, semalam pihak syarikat pengurusan Shuib Sepahtu mengesahkan pelakon dan pelawak itu memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohamad Rom berkata, hanya Shuib memberi keterangan kepada SPRM, manakala isterinya, Siti Sarah sekadar menemani suaminya.

Siasatan kes berkenaan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM.

Instagram: @sitisarahraissuddin