Laman Utama
"Kami Hanya Pekerja Mengikut Kontrak, Kami Juga Ada Keluarga Untuk Dijaga Dan Disara" - Adam Hamid Pohon Kelonggaran...
Pelakon dan pengarah Adam Hamid merayu agar pihak kerajaan memberikan kelonggaran untuk anak-anak seni kembali bekerja selepas tamat dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Permohonan tersebut dikongsikan Adam di Instagram miliknya kerana anak-anak seni tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan untuk menampung kehidupan.
"Assalamualaikum wbt. Sekiranya PKP disambung lagi selepas 26hb ini, Saya Adam Hamid, Selaku Ketua Kluster Kesenian Dan Media Kreatif Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) - mewakili anak-anak seni Tanah Air, memohon kepada Kerajaan agar mengizinkan kami pekerja Industri Kreatif ini dapat kembali ke lokasi untuk berkerja.
"Kerana pekerjaan kami tidak bergaji bulanan, kami tidak punya KWSP. Kami hanya pekerja Bebas yang bekerja mengikut kontrak. Tetapi, kami juga punya Keluarga untuk di jaga dan di sara," tulis Adam.
Tambah Adam lagi, apa sahaja Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berwajib akan dipatuhi dan diikuti sebaik-baiknya.
"Apa sahaja SOP yang ditetapkan sudah pasti kami akan akur dan ikut demi kebaikan kita semua untuk menangani pendamik COVID-19 yang semakin mengganas ini," tulis Adam lagi.
Ramai artis dan pekerja belakang tabir terpaksa memberhentikan penggambaran apabila pengumuman dibuat mengenai PKP yang dijalankan, bermula dengan enam negeri dan kini bertambah ke lebih banyak negeri serta kawasan.
Adam yang bermula dengan bidang lakonan sebelum menjadi pengarah pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sehingga terpaksa menjual kereta dan rumahnya bagi menampung bayaran perubatan dan perbelanjaan lainnya.