BIG STAGE S2 BM
"Kami Kawan, Tak Ada Gaduh-Gaduh!" - Sherry Alhadad Anggap Gurauan Mark Adam Spontan, Ujian Allah
Pengacara rancangan realiti hiburan Big Stage 2, Sherry Alhadad berharap tiada isu berbangkit selepas kontroversi gurauan 'body shaming' Mark Adam terhadapnya pada konsert pertama Ahad lalu.
Jelas Sherry, mereka masih baik dan perkara yang berlaku di luar jangkaan ketika bersiaran secara langsung dan situasi itu sebagai satu ujian Allah untuk diri masing-masing.
"Saya kalau boleh tak mahu memanjangkan isu ini sebab kami berkawan dan tak mahu hubungan silaturrahim sesama Islam putus disebabkan orang luar yang nak jatuhkan kami.
"Saya tahu niatnya tidaklah sebegitu dan apabila melibatkan rancangan siaran langsung akan berlaku perkara tidak terduga, yang mungkin akan berlaku juga kepada saya.
"Sebenarnya saya sayangkan orang sekeliling yang cuba melindungi saya dengan kata-kata semangat sebab saya pun manusia biasa, yang rapuh. Tetapi sudah-sudahlah... Tak perlu perbesarkan.
"Niat kami untuk menghiburkan orang, kadang-kadang kita terleka dan Allah nak duga kita supaya kita sedar," katanya kepada Gempak.
Sherry yang ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Fazbulous by Fazura sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2019 semalam menambah dia telah dihubungi oleh Mark dan isterinya pagi Isnin lalu untuk memohon maaf.
"Benda sudah berlaku, selagi saya bercakap, menulis atau komen mengenai isu ini saya ibaratnya cuba memperbesarkan keadaan sedangkan antara kami tiada apa-apa masalah pun.
"Ia berlaku spontan dan lebih baik kita jalani kehidupan normal seperti biasa. Saya pun ada lagi tujuh minggu untuk menghiburkan orang.
"Buat apa gaduh-gaduh, sudah nak masuk tahun 2020," katanya.
Ahad lalu, Mark berseloroh dengan menggunakan perkataan 'hos pun big' yang merujuk kepada Sherry sebelum disahut hos bersama Alif Satar untuk meredakan ketegangan.
Mark diundang sebagai juri jemputan bersama dua juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh sebagai penaja bersama.
Rancangan Big Stage 2 ditayangkan setiap Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini.
Must-Watch Video