Pelawak Shuib Sepahtu menganggap apa yang diperkatakan oleh Datuk Rosyam Nor pada majlis Anugerah MeleTOP Era 2021 minggu lalu sebagai satu gurauan semata-mata.

Shuib menjelaskan, hubungan dia dan Rosyam Nor rapat dan individu tersebut merupakan idolanya baik sebagai pelaku seni mahupun usahawan.

“Berkenaan dengan isu, saya anggap sebagai satu gurauan sahaja. Saya sendiri kenal lama dengan Datuk Rosyam, seperti berurus niaga dengan beliau berjualan ayam kampung.

“Sebelum beri anugerah itu pun saya dah berborak dengan beliau. Kami juga ada berbual tentang arwah isteri saya.

“Datuk Rosyam pun kenal arwah sejak kecil dan saya tak rasa ia sebagai satu isu pun. Saya hormat beliau sebagai idola dalam industri dan juga dalam dunia perniagaan,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, Shuib turut mengulas mengenai tindakan netizen mempertikaikan tindakan Rosyam yang dikatakan tidak sensitif terhadap dirinya.

“Mungkinlah netizen dan orang luar anggap perkataan yang dituturkan oleh Datuk Rosyam tidak sedap di telinga mereka. Mereka berhak untuk anggap apa sahaja.

“Tapi apa-apa pun, saya minta maaf kalau ada salah silap. Saya sayang Datuk Rosyam sebab banyak beri inspirasi kepada saya,” katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Rosyam dikecam oleh netizen kerana bertanya jika Shuib sudah mempunyai pengganti selepas kehilangan isteri lapan bulan yang lalu.

Ironi mereka berdua berdialog mengikut skrip dan bergurau secara spontan saat berganding bersama.

Untuk rekod, penyanyi Siti Sarah meninggal dunia akibat COVID-19 pada penghujung tahun lalu.