Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

“Kami Menyelamatkan Kanak-Kanak Berkenaan & Bawa Ke…”- Bapa Anak Hisap Vape Ditahan

Syafiqah Jalal
07/05/2021 02:50 MYT
Polis menahan seorang lelaki dipercayai bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang memberi anaknya menghisap rokok elektronik atau vape yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan di Setapak pada Selasa.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak polis ke sebuah rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan Off Jalan Genting Klang, Setapak untuk pemeriksaan.

"JKM dan PDRM kemudian menyelamatkan kanak-kanak berkenaan dan membawanya bersama ibunya untuk pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kanak-kanak dan ibu ditahan wad HKL," katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata, polis kemudian menahan bapa kanak-kanak itu yang berusia 23 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kejadian itu dirakam ibu kanak-kanak berkenaan namun perbuatan memberikan vape itu dilakukan bapanya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 2 Mei lalu di Taman Sahabat Jaya di Batu Caves, Selangor," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001.

Terdahulu tular di media sosial video menunjukkan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga mengundang kemarahan netizen.

Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali.

Malah pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan mangsa terasa seperti sukar bernafas.

Pada mulanya, wanita terbabit tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bebas memuat naik apa sahaja di laman sosialnya.

Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya.

Sumber: Harian Metro
#Viral #Anak #Tular #Ibu #Bapa #Direman #Vape
;