Berita
“Kami Mewakili Penggiat Seni Yang…”- Achey Pertahankan Hak Anak Seni
Pelawak Achey meminta agar netizen tidak mempertikaikan kenyataan yang dibuat rakan artis, Black dan Tomok berkenaan bantuan kerajaan kepada penggiat seni.
Ahli kumpulan Bocey itu memberitahu dari sudut fahamannya, Black dan Tomok bersuara demi mewakili keseluruhan penggiat seni temasuk artis veteran dan pekerja belakang tabir yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Saya tahu ramai yang salahkan Black dan Tomok selepas kenyataan yang dikeluarkan mereka baru-baru ini.
“Demi mendapat kepastian saya menghubungi Black, dia kata bantuan dimaksudkan bukan untuk dirinya. Sebaliknya, mewakili penggiat seni yang senior dan di belakang tabir yang lebih memerlukan bantuan itu,” katanya.
Achey membuat kenyataan itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Menurut Achey bila seorang artis tiada tawaran atau panggilan untuk persembahan atau sebagainya ia bukan sahaja melibatkan dirinya malah seluruh penggiat seni.
“Kami ini kalau tidak ada ‘job’, jurukamera, prop, jurusolek dan yang lain pun tidak ada kerja juga.
“Macam kami orang cakap ada duit, itu saya tolak tepi, kami akan cuba usaha juga walaupun tanggungan tidak seperti apa yang anda katakan.
“Namun, apabila fikir mengenai artis veteran yang tak mampu dan pekerja belakang tabir yang perlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan, itu yang mereka suarakan.
“Cuba kalau orang belakang tabir itu bercakap sebagai contoh budak prop, anda semua kenal ka?” katanya lagi.
Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang memberi pelbagai pandangan terhadap isu tersebut.
Must-Watch Video