Pelakon Pekin Ibrahim mengimbas kembali zaman awal perkenalan bersama isterinya, Mona Allen.

Menurut Pekin, dia dan Mona mula rapat dan mengenali antara satu sama lain sejak penggambaran filem komedi Manap Karaoke pada sekitar tahun 2017.

Namun begitu, Pekin menafikan hubungan mereka terjalin disebabkan 'cinta lokasi' kerana mereka telah berkawan sebelum penggambaran filem tersebut.

"Penggambaran filem Manap Karaoke dilakukan kira-kira tiga tahun lalu iaitu pada tahun 2017, ketika itu saya dan Mona sudahpun berkawan tetapi belum cukup rapat.

"Kami berdua mula rapat dan mengenali antara satu sama lain sejak sama-sama terlibat membintangi filem ini," katanya.

Pekin berkata demikian ketika ditemubual secara eksklusif dalam segmen Artis Duduk Diam di Instagram Astro Gempak hari ini.



Dalam pada itu, Pekin juga mendedahkan dia telah mencadangkan nama Mona kepada pengarah Mamat Khalid ketika proses pemilihan pelakon wanita dalam filem tersebut.

"Sebenarnya, saya yang cadangkan nama Mona Allen kepada Mamat Khalid ketika proses pemilihan pelakon wanita.

"Jadi, selepas mencadangkan nama Mona, saya selalu membantunya untuk berasa selesa dan menjaga kualiti lakonan dalam filem komedi pertama lakonannya itu," katanya lagi.

Manap Karaoke mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.

Manap akan berhadapan pelbagai ujian, namun yang pasti, banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.

Selain Pekin dan Mona, Manap Karaoke turut dibintangi oleh Joey Daud, Ropie, Imuda dan ramai lagi. Ia boleh didapati secara terus di pawagam rumah anda menerusi Astro First, saluran 480 mulai jam 12 tengah malam ini, 7 Mei 2020.

Jangan lupa untuk menyaksikannya!