Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Kami Pun Nak Surprise”- Ayda Jebat & Nabil Mahir Bakal Adakan Gender Reveal Anak Kedua

Syafiqah Jalal
14/08/2023 03:00 MYT
Pengacara dan pelakon Nabil Mahir memaklumkan bakal mengadakan pengumuman jantina bayi kedua mereka dalam satu majlis ‘gender reveal’ pada 23 Sepetember ini.

Kata Nabil majlis itu akan menjadi kejutan untuk dia dan isteri, Ayda Jebat juga kerana sehingga kini mereka masih tidak tahu jantina bayi keduanya.

"Kami akan membuat pengumuman itu pada 23 September depan. Malah sekarang pun kami berdua masih tidak tahu jantina bayi sama ada lelaki atau perempuan.

"Sebenarnya, kami pun nak suprise. Sebab itu, ketika pemeriksaan 'scan' dengan doktor, kami minta agar keputusan jantina anak ditutupi sehingga tarikh pengumuman nanti.

"Tapi ikutkan Nabil naklah timang anak lelaki pula. Tapi, apa yang paling utama bagi kami ialah bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat dan proses kelahiran dipermudahkan," katanya kepada Gempak.

Tambah Ayda yang turut bersama dalam temu bual memberitahau pada majlis itu akan diadakan juga sambutan ulang tahun kedua kelahiran anak sulungnya, Ana Nayla.

“Hari jadi Nayla pada 21 September jadi kami ambil kesempatan untuk sambut sekali dalam majlis yang sama. Harap dia sama-sama bergembira di hari berkenaan,” katanya.

Berkongsi mengenai proses kehamilan kedua kali ini, Ayda memberitahu ia sangat berbeza dengan pengalaman hamil pertama kerana kali ini dia sangat aktif bekerja.

“Kalau dulu saya banyak terbaring dan hanya tidur waktu hamil tetapi sangat berbeza kali ini saya lebih cergas dan suka bekerja.

"Alhamdulillah, saya pun sekarang muncul dengan drama terbaru di televisyen, Bukan Cinta Sempurna sebanyak 50 episod. Terima kasih, drama ini dapat sambutan baik penonton.

"Selain itu, rezeki tawaran menyanyi pun ada termasuk menjadi duta produk juga. Syukur sangat dan saya percaya semua ini adalah rezeki anak dan keluarga," ujarnya.

Ayda juga dilihat masih boleh membuat persembahan nyanyian ketika hadir di majlis pelancaran produk terbaharu Aurawhite Beauty dan dalam masa yang sama sudah menjadi duta produk tersebut selama sembilan tahun.

Terdahulu, Nabil dan Ayda bernikah pada 1 Januari 2021. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata pada tahun yang sama iaitu 21 September.

;