Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Kami Rasa Terhina” - Laporan Polis Dibuat Susulan Isu Hina 'Ngepan' Kaum Iban!

Hanafis Haris
28/05/2021 00:10 MYT

Isu kenyataan personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim yang dikatakan menghina pakaian tradisional suku kaum Iban yang terkenal di Sarawak nampak gayanya bertambah serius apabila ada yang membuat laporan polis.

Dua persatuan kebudayaan dan kesenian masyarakat Iban semalam tampil membuat laporan polis terhadap Ryzal yang terkenal dengan saluran Duriankimchi itu.

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai (TAJAI) Sarawak dan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Sibu (KEMADA) yang masing-masing membuat laporan di Balai Polis Sentral dan Balai Polis Lanang.

TAJAI diketuai oleh pengerusinya Themotty Jagak manakala KEMADA diketuai oleh Jackery Hillary Chukan.

Menurut Themotty, Ryzal telah memuat naik satu rakaman video berdurasi 58 saat menerusi akaun facebook Duriankimchi pada Rabu yang mempersendakan 'Ngepan' tradisonal Iban.

"Antara kata-kata Ryzal dalam video tersebut, adalah seperti mempersendakan, membuli dan menjatuhkan maruah mengenai pakaian tradisional 'Ngepan' kaum Iban.

"Saya mewakili persatuan TAJAI amat kecewa serta rasa terhina di atas perbuatan tersebut.

“Individu itu berani menyuarakan pandangan tanpa memikirkan implikasi kepada kaum lain, menyalahgunakan hak kebebasan bersuara melalui media semata-mata bertujuan untuk menyakiti perasaan kaum lain," katanya.

Beliau berkata, tindakan Ryzal itu telah mencalarkan maruah dan mengguris seluruh perasaan masyarakat Iban di negeri ini yang menghina 'Ngepan' pakaian tradisional Iban yang menjadi warisan dan identiti kebanggaan bangsanya.

"Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah tidak mahu perkara seperti ini berulang kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia dan untuk diambil tindakan polis," katanya.

Sementara itu, Jackery memberitahu KEMADA pada mulanya telah menjejaki akaun facebook milik Ryzal Ibrahim pada malam tadi dan mendapati memang beliau yang mula-mula memuatnaik video tersebut menerusi Youtube Channel duriankimchi.

"Kami sebagai persatuan Dayak yang mengekalkan adat dan tradisi Iban tidak berpuas hati dengan komen-komen yang dilemparkan oleh Ryzal yang menghina pakaian tradisional kami orang Iban," jelasnya.

Beliau menganggap kata-kata Ryzal menerusi video terbabit adalah satu bentuk buli siber dan KEMADA tidak dapat menerima kenyataan maaf yang dikeluarkan oleh beliau dalam laman sosial.

Sekadar info, video tersebut telah menjadi tular pada Rabu apabila Ryzal bergurau dengan isterinya Maryam yang sedang memakai 'Ngepan'.

Antara kata-kata gurauan Ryzal ialah melabelkan Kain Kebat Iban (Pua Kumbu) sebagai kain buruk, 'Selampai' dianggapnya seperti tikar mengkuang, 'Tangu' adalah seperti alas penutup TV tahun 70-an dan 'Selampai' punggung adalah seperti tali pinggang pengakap.

Tindakan Ryzal itu telah dikecam oleh ramai netizen khususnya masyarakat Iban di laman sosial.

BACA: "Saya Akui Tidak Menjaga Sensitiviti Berbilang Kaum ..." - Niat Nak Bergurau, Ryzal Duriankimchi Mohon Maaf Hina Pakaian Tradisional Kaum Iban

Sumber: Utusanborneo











#Viral #Maryam #Ryzal #Duriankimchi #Iban
;