"Kami Tak Akan Ketawakan Awak Pakai Mask Lagi..." - Yuna Kenang Kebimbangan Ashraf Sinclair Terhadap Wabak COVID-19
Asraf Aided
19/04/2020
|
07:05 MYT
Penyanyi popular Yuna mengenang abang iparnya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia dua bulan lalu.
Yuna berkongsi perkara menyentuh hati itu menerusi entri di akaun Instagram miliknya semalam.
Menurut Yuna, dia seolah tidak percaya Ashraf telah meninggal dunia selama dua bulan.
"Abang Ash, sudah dua bulan, kami masih tak percaya yang awak sudah pergi, saya lihat gambar-gambar, rasa tak percaya kita diberi peluang untuk melepak kali terakhir di New York.
"Kadang-kadang saya juga terfikir yang awak akan datang bersama Bunga ke Los Angeles dan meluangkan masa bersama kami seperti ia akan berlaku lagi," tulis Yuna sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Yuna juga teringat akan kebimbangan Ashraf terhadap penularan wabak COVID-19.
"Ash, awak betul, COVID-19 bukan untuk dibuat main, kami tak akan mentertawakan awak memakai topeng muka lagi.
"Apabila Adam (suami Yuna) memakai topeng muka, saya akan teringat dia pernah ketawakan awak ketika memakainya di lapangan terbang," tulisnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari para pengikut Yuna yang turut tersentuh.
Rata-rata mereka juga menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.
Terdahulu, Ashraf yang juga suami kepada aktres popular Indonesia, Bunga Citra Lestari dilaporkan meninggal dunia pada pagi 18 Februari 2020 disebabkan serangan jantung.
Allahyarham juga meninggalkan seorang anak lelaki, Noah Sinclair yang berusia 10 tahun.