Hiburan
“Kami Tak Perlukan Simpati Tetapi Empati” – Pemain Bola Cacat Penglihatan Negara Mahu Jadi Inspirasi
Pemain bola sepak cacat penglihatan kebangsaan yang juga pelakon filem Eye on The Ball (EOTB), Asri Arshad berharap tayangan filem ini mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap orang kelainan upaya (OKU).
Menurut Asri, 25, orang cacat penglihatan seperti mereka tidak perlukan simpati tetapi empati.
“Saya amat berharap filem ini mampu mengubah persepsi masyarakat yang sering merasa simpati pada kami. Apa yang kami perlukan adalah empati dan rasa hormat.
“Sebab bila kami diberikan peluang seperti di layar perak, mendapat tempat di institusi pendidikan dan peluang pekerjaan, kami juga berdiri sama tinggi bersama orang normal yang lain,” katanya kepada Gempak.
Asri ditemui selepas majlis tayangan perdana filem EOTB yang diadakan di TGV One Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
Tambah Asri lagi, OKU sepertinya juga perlu menyedari bahawa mereka perlu capai setiap peluang yang ada depan mata.
“Setiap OKU perlu mula capai impian masing-masing. Sanggup keluar untuk memenuhi apa sahaja cita-cita yang anda mahukan.
“Macam apa yang kami dah buktikan menerusi pasukan bola sepak cacat penglihatan, harap filem mampu beri inspirasi kepada semua tidak kira mereka yang celik atau mereka yang tidak dapat melihat seperti saya,” katanya lagi.
EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sekumpulan anak muda cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak profesional di pawagam tempatan bermula 19 Mac 2020.
Must-Watch Video