Penyanyi Ernie Zakri menegaskan dia dan pasangan, Syamel akan meneruskan majlis perkahwinan mereka selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ernie bagaimanapun menafikan mereka bakal menangguhkan majlis tersebut cuma keputusan itu bergantung pada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Tak marah, kita okey. Terang-terangan semua orang tengah ada masalah masing-masing apabila PKP diumumkan. Dan banyak juga perkara yang harus kita selesaikan.

"Cuma perkataan tangguh itu kalau boleh kami elakkan. Kami tak ada menangguh apa-apa setakat ini.

"Insya-Allah semua berjalan seperti yang dirancang jika PKP tidak dilanjutkan lebih lama..

"Semua ni kami mampu rancang, tapi Dia tentukan," jelasnya.



Ernie tampil mengulas mengenai laporan sebuah portal hiburan yang mendakwa pasangan itu bakal menangguhkan majlis perkahwinan mereka ekoran penangguhan Anugerah Juara Lagu ke-35 baru-baru ini.

Justeru, Ernie memohon doa orang ramai agar melancarkan urusannya dan tidak salah faham dengan situasi terkini mereka.