Hiburan
"Kami Takut Allah, Tak Takut Dengan..." - K-Clique
Kumpulan rap yang sedang meningkat naik, K-Clique mendedahkan mereka tidak takut dengan kerenah peminat fanatik.
Baru-baru ini, salah seorang anggota K-Clique, MK dicium oleh seorang peminat wanita yang fanatik ketika sedang mengadakan persembahan di Singapura.
Tidak selesa dengan situasi itu, MK kelihatan terkejut dan mengelakkan dari peminat terbabit.
Rakaman video kejadian terbabit viral dan mendatangkan pelbagai reaksi di laman sosial.
"Bila perkara terbabit tular, bukan kami yang minta. MK kena peluk dan cium pun bukan kami yang mahu. Itu semua tindakan peminat yang agak fanatik.
"Kami okay sahaja. Tindakan peminat itu tidak ganas pun, dia juga telah memohon maaf. Tapi, dengan tokok tambah komen netizen di laman sosial, perkara itu menjadi lebih besar dan memanaskan lagi keadaan," kata Tuju mewakili kumpulan K-Clique.
Tuju dan MK yang mewakili anggota K-Clique ditemui di sesi sidang media Konsert Hausboom Music di Saro Lounge, Pavilion Elite, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika ditanya adakah mereka takut dengan peminat fanatik selepas kejadian terbabit terjadi, Tuju mempunyai jawapan tersendiri.
"Kami hanya takut dengan Allah, bukan dengan orang lain atau peminat fanatik. Malah, kami menghargai mereka yang meminati kami.
"Sebelum ini, kami pernah saja melalui kejadian seperti van diserbu peminat, khemah di tempat persembahan roboh dan sebagainya.
"Kami gembira dan bersyukur kerana peminat menerima kami sehingga terjadinya perkara seperti itu.
"Istilah penat dah rimas dengan peminat tidak wujud dalam kamus hidup kami," kata Tuju lagi.
Konsert Hausboom Music 2019 akan menyaksikan K-Clique akan menyertai pemuzik terkenal lain yang datang daripada pelbagai genre muzik seperti hip hop, rock, reggae serta ska iaitu Hujan, Pop Shuvit, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, Budak Nakal Hujung Simpang dan Ella.
Konsert Hausboom Music 2019 bakal diadakan pada 10 November ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan bermula dari 4 petang sehingga 10 malam.
Harga jualan tiket bermula dari RM30 (Early Bird), RM60 (Pintu Masuk) dan RM100 (RockZone).
Tiket akan dibuka untuk jualan hanya melalui aplikasi TicketApps bermula 18 Oktober ini.
Must-Watch Video