Pengarah Aziz M Osman akui telah sedaya upaya mendapatkan pelakon Lan Pet Pet untuk turut serta dalam filem terbaru Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion.

Menurut Aziz, dia dan pihak pengurusan sudah mengubungi Lan sertai ahli Senariounion yang lain, namun atas sebab tertentu, hasrat itu tidak kesampaian.

"Kami semua sudah hubungi Lan, pihak pengurusan pun.

“Tapi kita tahu apabila Lan mempunyai komitmen lain dan kami fahamlah," katanya.

Tambahnya, biarpun sudah memulakan penggambaran, dia masih cuba untuk ‘mempelawa’ Lan untuk muncul sekurang-kurangnya satu dua babak.

“Namun sehingga saat ini, walaupun dua tiga hari lepas sebelum kami nak selesai penggambaran, kami tetap telefon Lan.

“Sekurang-kurangnya ada satu dua babak untuknya. Namun kami faham.

“Bukan dia tolak atau tak terima tapi dia ada komitmen lain," katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Jaga-Jaga Senariounion. di Jannah Wedding Place, Beranang, kelmarin.

Sekadar info, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad sudah beralih kerjaya sebagai pembantu peguam di syarikat guaman Aswandi Hashim & Co milik Datuk Dr Aswandi Hashim.

Lan memulakan tugas pertamanya di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada 25 Ogos lalu.

Dalam itu, Jaga-Jaga Senariounion terbitan Botak Production Management Sdn Bhd dijangka menemui penonton tidak lama lagi menerusi Astro First.

Filem terbaru menampilkan kesemua ahli Senariounion (kecuali Lan) turut Syanie, Bobby Kiran, Prono, Amm Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah.