Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kami Tidak Bersamanya Pada Banyak Ramadan" - Nurul Izzah Akui Pembebasan Anwar Hadiah Istimewa Menjelang Ramadan

Rozaimi Zubaidi
16/05/2018 05:48 MYT

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan berita pembebasan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka esok adalah hadiah istimewa menjelang Ramadan.

"Kami telah tidak bersamanya pada banyak Ramadan dan saya anggap inilah hadiah paling manis untuk keluarga dan keluarga besar di Permatang Pauh," katanya.

Nurul Izzah berkata usaha petisyen permohonan pengampunan untuk Anwar yang dimulakan sejak 2015 akhirnya berjaya.

"Kami sentiasa berjuang bersamanya dalam usaha melakukan reformasi keadilan... ini bukan setakat mengenai bapa saya, tetapi melakukan ini demi keadilan," kata beliau.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja berkaitan proses pengampunan dan pembebasan Anwar dimuktamadkan esok.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Sumber: Bernama
#. #Nurul Izzah Anwar #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Naib Presiden PKR
;