Karya sentuhan terakhir Allayarham Mamat Khalid yang disempurnakan anaknya, pengarah Amen Khalid berjaya meraih kutipan RM 1 juta dalam tempoh enam hari tayangan di Astro First.

Menurut Amen, dia berasa sangat bersyukur kerana filem tersebut menerima reaksi positif penonton.

“Syukur Alhamdulillah filem ini mendapat respon baik daripada penonton.

“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat setia karya arwah papa, peminat Kampong Pisang serta semua penonton yang telah menonton dan saya anggap kejayaan ini adalah sokongan untuk meneruskan legasi ini.

“Insyaallah, Kampong Pisang Universe tidak akan terhenti akan terus ada buat peminat dan penggemar filem tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengucapkan terima kasih atas sokongan padu penonton Kampong Pisang Universe.

“Melihat penerimaan penonton terhadap filem ini, rata- ratanya terhibur dengan babak-babak komedi yang dipersembahkan.

“Kami yakin filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali amat sesuai ditonton seisi keluarga.

“Kepada mereka yang belum menonton, jangan lepaskan peluang untuk berhibur di samping meluangkan masa bersama insan tersayang di rumah dengan menonton filem ini.

“Sementara itu, kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Amen Khalid yang telah menambat hati penonton melalui sentuhannya,” katanya.

Sementara itu bakat Amen mengarahkan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali turut mendapat pujian penonton.


Filem komedi seram kesukaan ramai terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut ini membariskan pelakon Kazar Saisi (Pak Din), Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Datin Padukan Eina Azman (Cik Mek), Azman Mantra (Cik Gerhana), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar), Anis Nisham (Yati).

Kampong Pisang dilanda misteri lagi! Kemunculan Cik Mek dan perkara aneh di Kampong Pisang telah mengganggu seluruh penduduk Kampong Pisang.

Kejadian misteri turut berlaku pada Gerhana, iaitu adik kepada Cik Purnama sehingga menarik perhatian seluruh penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pilihan Raya Kecil diadakan di Kampong Pisang setelah kerajaan bertukar regu untuk kali ke 18 dan penduduk kampung berbahas semasa sendiri untuk kebaikan kampung mereka.

Saksikan komedi seram, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali kini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.