Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Kamu Berdua Biadap!” - Ras Adiba Berang Dua Pemuda Persenda & Salah Guna Parkir OKU

Azwa Rahman
08/12/2021 22:45 MYT
Dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi golongan orang kurang upaya (OKU) di sebuah pusat beli-belah diminta membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU.

Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menceroboh kemudahan dikhaskan itu, telah mempersendakan golongan istimewa terbabit.

"Kalian semua telah mempersenda dengan mempergunakan parkir OKU dan berlakon diri anda sebagai seorang OKU.

“Saya pohon supaya kalian berdua meminta maaf pada kesemua komuniti OKU di negara kita.

“Sudahlah kami susah, orang semua selalu memandang rendah terhadap kami, orang semua menggunakan kemudahan yang disediakan dan dikhaskan untuk kami.

"Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermain dan mempersendakan kami. Sila pohon maaf kepada komuniti OKU," katanya dalam video di Instagram beliau hari ini.

A post shared by Ras Adiba Radzi (@rasadibaradzi)


Hari ini tular sebuah video menunjukkan seorang pemuda berpura-pura berlakon sebagai OKU semata-mata untuk memarkir kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk golongan itu di sebuah pusat beli-belah.

Menerusi video berdurasi 37 saat itu lagi, pemuda yang dikenali sebagai Ajim berjalan umpama individu tidak normal dan melakukan pergerakan tangan dan kaki seperti orang cacat.

Seorang lagi pemuda yang merupakan rakannya mendakwa berada di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur dan dikatakan sukar untuk memarkir kereta.

“Nak parking susah, tapi Ajim cakap kalau nak parking ada satu cara, betul-betul dapat parking, tapi cara dia pelik sikitlah.

“Betul-betul dia jadi cacat. Ini kalau kantoi dengan pak guard memang ‘mati’, tapi dapat parking. Tengok kereta hitam aku ni, betul-betul dapat parking. Terima kasih Ajim.

“Lepas ni kalau aku naik KL, aku dah tahu dah. Bawa Ajim memang selamat,” katanya.

Bagaimanapun, video tersebut dipadamkan selepas menerima kecaman netizen yang menyifatkan tindakan tersebut seperti menghina OKU.
#Ras Adiba #Hak OKU #Persenda OKU #Rebut parkir OKU
;