HIBURAN
"Kamu Orang Indonesia, Buat Apa Nyanyi Di Sini? Patut Jadi Maid Saja" - Allan Andersn Dedah Jadi Mangsa Buli Siber
Penyanyi Indonesia, Allan Andersn mendedahkan pernah menjadi mangsa buli siber ketika menyertai sebuah program nyanyian tempatan sebelum ini.
Jelas Allan, meskipun berdepan pengalaman sedemikian, dia bertindak merendahkan ego dengan tidak membalas sebarang provokasi individu terbabit.
"Saya pernah dituduh saya membuli orang ketika bertanding di program terbabit. Setelah saya periksa, orang itu berkata tujuannya membuat tuduhan membuta tuli terbabit hanya kerana inginkan publisiti.
"Saya konfron dengan hantar mesej kepadanya bertanyakan apa masalah sebenar, tetapi sesudah itu dia recall (padam) semua sejarah mesej tapi saya sudah screenshot. Tak tunjuk kepada sesiapa kerana malas memanjangkan cerita.
"Dua tiga minggu di pertandingan itu, saya hanya rasa nak tamatkan segera (pertandingan). Dapat DM (mesej langsung) berbunyi, ‘saya orang Indonesia, buat apa menyanyi, patut jadi orang gaji sahaja’," ujarnya kepada Gempak.
Allan ditemui pada majlis pelancaran single baharu Seakan Ku Tak Ada di ibukota baru-baru ini.
Tambah Allan atau nama sebenarnya, Joan Allan Anderson lagi, apa yang berlaku di belakang tabir ketika program berlangsung, hanya dirinya tahu dan cekal menghadapinya.
"Saya cuba sahaja kuat atas pentas—senyum tapi dalam hati saya sudah tak mahu lagi (terus bertanding).
"Disebabkan itu, saya sangat tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tindakan buli. Berhentilah komen buruk tentang sesuatu demi kepuasan sendiri. Saya mungkin dah ampunkan dia tapi tak boleh melupakan perbuatannya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Allan, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada. Trek ini merupakan salah satu daripada lagu yang terkandung dalam album studionya yang berjudul dear aa dan mengangkat tema perasaan diabaikan dalam sebuah hubungan.
“Lagu Seakan Ku Tak Ada terinspirasi dari kisah seorang teman rapat. Setiap kali dia bercerita tentang hubungannya, saya merasa ada sesuatu yang janggal, seolah-olah pasangannya tidak menghargai keberadaannya.
“Dari situ, saya mula membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang, tapi rasanya seperti tidak pernah benar-benar dianggap.
“Perasaan itulah yang saya jelmakan dalam lagu ini. Meskipun bukan pengalaman peribadi secara langsung, tapi emosi yang saya rasakan ketika menulis lagu ini sangat dekat di hati saya.” ujar Allan mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.
Lagu Seakan Ku Tak Ada dan album dear aa kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan iTunes.
Must-Watch Video