Berita
"Kamu Perlu Jaga Isteri & Anak Dalam Kandungan Dengan Elok-Elok, Jangan Abaikannya" - Ini Nasihat Diberikan Pada PU Abu
Lafaz talak yang dibuat oleh bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan, menerusi aplikasi WhatsApp terhadap isterinya Ain 'Afini Latif pada 13 Mac lalu adalah tidak sah, lapor Astro Awani.
Menurut laporan, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Nuruazhar Tohar menetapkan keputusan itu dalam prosiding pada Rabu.
Hakim dalam pada itu menasihati PU Abu Sufyan agar menyelesaikan perihal rumahtangga dengan baik.
Mohd Nuruazhar berkata, sebagai suami, Abu Sufyan atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi sepatutnya menjaga keluarganya dengan baik.
"Kamu perlu jaga isteri dan anak dalam kandungan dengan elok-elok dan jangan abaikannya," katanya.
Beliau berkata, keadaan emosi seorang wanita yang mengandung berbeza dengan wanita lain.
"Dengan apa yang berlaku ini telah memberi kesan terhadapnya.
"Kamu jangan lepas tangan. Apa-apa hal kamu perlu selesaikan. Faham?" katanya.
Abu Sufyan yang memakai baju kemeja berbelang biru putih dan berkopiah kemudiannya mengangguk.
Abu Sufyan mendirikan rumahtangganya bersama Ain 'Afini pada 31 Ogos 2018 dan dijangka menyambut kelahiran cahaya mata pertamanya pada 10 Julai depan.
Sebelum ini, Ain 'Afini menerusi laman sosialnya mendedahkan dia telah diceraikan Abu Sufyan selepas lelaki itu memilih untuk bernikah dengan wanita bernama Hana Azraa.
Pada 22 April lalu, Abu Sufyan menerusi ruangan komen akaun instagramnya mengakui kesilapannya menceraikan isteri yang sedang hamil.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video