Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kamya Rugi Lebih RM200,000, Desak Influencer Turunkan Posting Fitnah - "Kami Beri Masa 2 Minggu, Kalau Tidak..."

Amri Hassan
21/02/2023 08:25 MYT
Penyanyi dan pengasas produk Kamya, Erna Elliyana Rosli mendesak semua pempengaruh dan wargamaya yang menyebarkan perkara tidak tepat mengenai Kamya Fest yang berlangsung pada 10 hingga 12 Februari lalu untuk memadam atau menurunkan semula segala posting berbaur fitnah.



Kata Erna, pihaknya menerusi nasihat guaman Ganesh Magenthiran dari Hakem Arabi & Associates memberikan tempoh selama dua minggu untuk menurunkan semula hantaran berkenaan.

"Dua minggu notis diberikan dan sekiranya gagal atau enggan, kami sebagai pihak guaman Kamya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak atau individu.

"Hantaran di media sosial berkenaan telah mencalarkan imej dan nama baik syarikat Kamya. Jadi kami menyeru agar semua pihak berhenti daripada terus menulis kata-kata yang tidak tepat mengenai Kamya Fest," ujar Ganesh.

Tambah Erna, pihaknya cuma bertindak sebagai penaja utama Kamya Fest yang dianjur dan diuruskan oleh Underground Asia dan FWD.

Malah, Kamya telah melaburkan lebih RM445,000 selaku penaja utama acara terbabit.

"Sasaran kami untuk mendapatkan 50,000 pengunjung tidak berhasil selepas isu viral sejak hari pertama pada 10 Februari. Hal itu juga menyebabkan kami kerugian separuh daripada jumlah yang dilaburkan untuk acara terbabit.

"Selain isu viral, faktor cuaca seperti hujan juga menyebabkan kurangnya sambutan daripada pengunjung," tambah Erna.

Kamya Fest tular di media sosial apabila ada pempengaruh, pengunjung dan vendor yang terbabit meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas hati dengan bayaran masuk ke festival terbabit.

Difahamkan sebanyak RM10 dikenakan sebagai yuran masuk ke tapak festival namun penganjur membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang caj untuk masuk pada hari kedua dan ketiga.

Warganet juga mempertikaikan harga parkir oleh pengurusan Stadium Bukit Jalil bernilai RM20 kepada setiap pengunjung yang dianggap terlalu mahal.

"Sekali lagi kami tegaskan Kamya adalah penaja terbesar festival berkenaan dan disebabkan itu ia dinamakan sebagai Kamya Fest. Walaubagaimanapun, kami bukanlah penganjur.

"Keputusan untuk mengenakan bayaran masuk ditetapkan oleh penganjur dan penganjur juga bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran pada hari kedua dan ketiga selepas perbincangan dibuat.

"Berkenaan kadar bayaran parkir yang mahal RM20 juga di luar pengetahuan pihak Kamya," kata Erna.

Kamya Fest telah berlangsung pada 10 hingga 12 Februari lalu di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Terdapat lebih 20 selebriti dan bintang media sosial popular tanah air, mengambil bahagian sebagai daya tarikan pengunjung untuk datang ke festival berkenaan antaranya Datin Alyah, Nabila Huda, Dolla, Eja dan ramai lagi.

Bukan itu saja, Kamya Fest dihangatkan dengan pertunjukan motosikal, kereta antik Jepun, fesyen bundle dan taman tema Farm in The City.

#Viral #Netizen #Mahal #Influencer #Yuran #Kamya #Kamya Fest
;