"Kanak-kanak Cepat Belajar Bahasa Asing"- Dr Sheikh Muzaphar Jelas Sebab Hantar Anak Ke Sekolah Cina

Syafiqah Jalal
Januari 3, 2018 05:30 MYT
Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muzaphar memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina untuk kedua-dua anak perempuannya, Sophea Isabella, 7, dan Sophea Natasha, 6.
Menerusi akaun Instagram (IG) peribadinya, Sheikh Muzaphar berkongsi beberapa video dia menghantar anak-anaknya itu ke sekolah Cina.
Sheikh Muzaphar memberitahu dia telah didatangi oleh beberapa ibu bapa yang bertanyakan kepadanya mengapa memilih sekolah Cina untuk kedua-dua anaknya.
Angkasawan itu menjelaskan sekolah Cina adalah pilihan terbaik yang dilakukan untuk pengajian anak-anaknya.
Menurutnya, sekolah tersebut mempunyai teknik pembelajaran yang hebat selain pelajarnya yang cukup berdisiplin.
Sheikh Muzaphar berkata tidak perlu risau menghantar anak ke sekolah Cina kerana kana-kanak cepat belajar bahasa asing.
Namun nasihatnya, supaya hantar anak-anak seawal pra-sekolah ke sekolah Cina supaya mereka mendapat pendedahan awal dan mempunyai asas bahasa asing itu.
Pesannya lagi, jangan lupa membawa bekal makanan sendiri dari rumah kerana sukar untuk memilih makanan halal di sekolah tersebut.
Mengenai bebanan kerja sekolah yang banyak daripada sekolah biasa, Sheikh Muzaphar memberitahu ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa untuk membantu anak-anak menyiapkannya.
Akhir sekali, Sheikh Muzaphar berkata jangan memandang rendah kepada keupayaan anak-anak dan beri peluang mereka meneroka.
Foto: Instagram Dr Sheikh Muzaphar
#Angkasawan Negara #Sekolah Cina #Sheikh Muzaphar