Kanak-kanak Tahun Satu Nur Dinie Damia Muhammad Noor, 7, yang disyaki dijangkiti influenza dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.

Menurut laporan Berita Harian, berita itu disahkan oleh bapa Nur Dinie Damia, Muhammad Noor Amin, 38, dan memohon orang ramai mendoakan supaya roh anak bongsunya itu ditempatkan dalam kalangan golongan beriman.

“Anak saya dah tiada. Innalillahiwainailaihirojiun,” katanya dalam mesej ringkas yang dihantar kepada pemberita menerusi WhatsApp.

Sebelum itu Muhammad Noor berkata, anaknya mengalami jangkitan pada bahagian hati dan disahkan mengalami otak mati selepas menjalani imbasan.

Nur Dinie dimasukkan ke ICU HSA sejak empat hari lalu selepas kesihatannya merudum ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

“Nur Dinie sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menghidap sebarang penyakit, namun kesihatannya tiba-tiba merudum selepas mengalami demam minggu lalu.

“Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum dia disahkan dijangkiti Influenza A sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta.

“Keadaan Nur Dinie ketika dirawat di hospital swasta juga tidak menunjukkan perubahan di samping mengalami muntah darah menyebabkan dia kemudiannya dirujuk ke HSA dan dimasukkan ke dalam ICU bagi pemantauan pakar,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Jabatan Kesihatan Johor (JKJ) mengesahkan seorang murid Tahun Satu (merujuk kepada Nur Dinie Damia) yang dirawat di ICU sebuah hospital di Johor Bahru, dijangkiti Influenza seperti yang tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan berkata, selain dijangkiti Influenza terdapat juga komplikasi lain yang menyebabkan kanak-kanak terbabit perlu dirawat di ICU dan diletakkan di bawah pengawasan pakar.

“Berdasarkan laporan doktor pakar, kanak-kanak terbabit turut mengalami pelbagai komplikasi lain bukan hanya Influenza sahaja,” katanya.

Sumber: Berita Harian / Harian Metro