VIRAL

Kanak-Kanak Pelarian Iran Cedera Parah Dihempas Lelaki Di Lapangan Terbang, Suspek; "Saya Berada Dalam Pengaruh ..."

Amri Hassan 27/06/2025 | 02:55 MYT
Seorang bayi lelaki pelarian Iran kini bertarung nyawa selepas menjadi mangsa serangan kejam oleh seorang lelaki warga Belarus di Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow.

Kejadian tragis itu berlaku pada 24 Jun lalu, hanya sejurus selepas mangsa dan ibunya tiba dalam usaha melarikan diri daripada konflik di tanah air mereka.

Mangsa, Yazdan, bayi berusia 18 bulan, dipercayai diangkat dan dihempas ke lantai konkrit oleh suspek, Vladimir Vitkov, 31, tanpa sebarang provokasi.

Detik ngeri itu dirakam kamera pengawasan dan tular di media sosial X (Twitter), mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Rakaman menunjukkan Vitkov yang memakai cermin mata hitam, menangkap Yazdan dari pergelangan kaki lalu menghentakkan tubuh kecil itu ke lantai. Serangan berlaku secara tiba-tiba ketika keluarga tersebut baru sahaja memasuki terminal.

Beberapa penumpang yang menyaksikan insiden itu segera bertindak menahan Vitkov sebelum pihak berkuasa tiba untuk melakukan penahanan.

Yazdan koma

Menurut laporan Daily Mirror, Yazdan diletakkan dalam keadaan koma secara perubatan akibat kecederaan pada tengkorak dan tulang belakang.

Namun, doktor melaporkan tiada kerosakan otak serius dan Yazdan tidak memerlukan pembedahan saraf buat masa ini.

Suspek mengaku cuba membunuh, dakwa khayal dadah

Suspek, Vitkov, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Belarus dari Mesir, dilaporkan telah dipecat daripada pekerjaan di sebuah loji janakuasa nuklear selepas gagal ujian dadah dan alkohol.

Pihak polis Rusia percaya dia masih berada di bawah pengaruh bahan terlarang ketika insiden berlaku.

Lebih mengejutkan, dalam keterangan kepada polis, Vitkov berkata tanpa rasa bersalah:

“Ya, saya cuba membunuh seorang kanak-kanak itu. Saya berada dalam pengaruh dadah," katanya tanpa rasa bersalah.



Kejadian tersebut mendapat perhatian serius dari pihak berkuasa tempatan. Pesuruhjaya Hak Kanak-Kanak Wilayah Moscow, Ksenia Mishonova, melabel Vitkov sebagai raksasa.

“Raksasa yang khayal dadah," sambil menggesa agar dia dihukum seberat-beratnya, termasuk “kerja buruh berat sehingga dia menjadi uzur dimamah usia.”

Latar belakang Yazdan

Yazdan dan ibunya yang sedang hamil difahamkan tiba di Moscow sebagai pelarian susulan ketegangan yang memuncak di Iran selepas serangan udara oleh Tel Aviv pada 13 Jun lalu.
Rusia, sebagai sekutu Iran dalam konflik Ukraine, menjadi antara negara yang membuka pintu kepada pelarian dari negara itu.

Pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan unsur perkauman turut menjadi motif serangan, selain pengaruh bahan terlarang.

Sumber: Mirror
#Viral #Iran #Kanak-Kanak #Lapangan terbang #Pelarian #Hempas #Belarus #Yazdan