BERITA
Kandungan Memudaratkan: MCMC Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Telegram 'Edisi Siasat' & 'Edisi Khas'
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap dua saluran di platform Telegram, 'Edisi Siasat' dan 'Edisi Khas', yang didapati menyebarkan kandungan memudaratkan serta melanggar peruntukan undang-undang negara.
Menurut MCMC, pihaknya telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah injunksi interim terhadap kedua-dua saluran tersebut.
Katanya, ia bertujuan menghentikan penyebaran kandungan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Langkah ini diambil selepas kegagalan Telegram sebagai pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)] untuk menangani kandungan berulang yang telah dilaporkan kepada pihak mereka.
"MCMC telah menjalankan pelbagai usaha rundingan dan kerjasama, namun tahap pematuhan platform itu masih tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut, tindakan ini juga merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan MCMC terhadap semua penyedia platform media sosial bagi memastikan kandungan yang diterbitkan tidak melanggar undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan awam.
Menurut MCMC, pihak Telegram akan diberikan ruang yang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
MCMC dalam pada itu menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan serupa terhadap mana-mana platform lain yang gagal mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan digital negara.
“MCMC kekal komited memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang,” katanya.
Sumber: Awani