"Karangan BM Pun Dapat 9/100" - Rapper Wanita Pertama Def Jam Asia Tenggara, Sya Akui Pernah Jadi Mangsa Buli Gara-Gara...

ZULHILMI JALIL
Disember 22, 2020 01:10 MYT
Pendatang baharu yang juga merupakan penyanyi rap, Sya mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan.
Menurut Sya atau nama sebenarnya Nur Batrisya Mohd. Nazri, 24, situasi itu berlaku ketika dia pulang ke Malaysia selepas tinggal di luar negara.
"Saya dah biasa dibuli sejak kecil. Ketika itu saya baru pulang menyambung persekolahan di negara ini selepas pernah tinggal di Bahrain dan Pakistan.
"Jadi, bahasa percakapan utama saya adalah bahasa Inggeris selain saya tak biasa dengan budaya di negara ini. Mereka kecam dan kritik," katanya kepada Gempak.
Begitupun, menurut Sya, situasi tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus maju ke depan.
"Ketika itu memang penguasaan bahasa Melayu saya agak kurang. Bahkan, karangan Bahasa Melayu saya pernah dapat 9/100. Bagaimanapun, sewaktu SPM, saya dapat B+," katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Sarawak.
Sya berkongsi hal tersebut ketika ditemui di ibu pejabat Universal Music Malaysia sewaktu mempromosikan single pertamanya, PrettyGirlBop yang mendapat sentuhan penerbit, dan rapper terkenal SonaOne.
Lagu tersebut merupakan gandingan anak kelahiran Ampang, Selangor itu bersama rapper Singapura, Yung Raja.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia muzik, kata Sya, dia mula bergiat aktif sejak zaman belajar lagi.
"Ada satu freestyle rap yang saya muat naik di Instagram jadi viral di Twitter yang kemudian mendapat perhatian Joe Flizzow dan SonaOne.
"Kemudian bermulalah perjalanan muzik saya," katanya yang merupakan penyanyi rap wanita pertama bernaung di bawah Def Jam Asia Tenggara.
Sebagai info, Def Jam pernah mewakili nama-nama besar seperti The Beastie Boys, Jay Z, Kanye West, Nas, Rihanna dan Justin Bieber.
#rapper #Asia Tenggara #Bahasa Melayu #Def Jam #SYA