Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

"Karya Ini Paling Mencabar Kerana...." - Luqman Hafidz

Kamaruddin Razal 11/10/2018 | 22:04 MYT
Pelakon Luqman Hafidz mengakui drama bersiri Sembilan menjadi antara karya yang paling mencabar pernah dijayakan olehnya.
Naskah kerjasama antara Malaysia dan Indonesia ini diarahkan oleh sutradara Razaisyam Rashid.
"Dalam drama bersiri Sembilan, saya membawakan watak sebagai Saduri. Saya akui, karya ini paling mencabar kerana ia memerlukan ketelitian dalam lakonan.
"Saya harus bertutur dalam bahasa masyarakat Kalimantan, Menariknya, saya mendapat peluang untuk bekerjasama dengan pelakon berbakat Malaysia dan Indonesia," katanya.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi filem Ola Bola The Movie ini, dia berterima kasih kepada penerbit yang memilihnya untuk menjayakan drama bersiri Sembilan.
"Saya sangat bersyukur kerana diberikan rezeki dan peluang untuk menjayakan drama bersiri ini. Sudah pastinya saya tidak sabar untuk menantikan reaksi penonton," katanya lagi.
Sembilan merupakan drama mini bersiri 10 episod yang mengangkat genre seram serta skripnya ditulis oleh Salman Aristo dan Rino Sarjono.
Ia merupakan sebuah lagi naskah premium eksklusif yang menyaksikan kolaborasi nusantara antara Malaysia dan Indonesia di bawah payung penjenamaan Astro Original Series.
Selain Luqman, karya ini menampilkan lakonan hebat pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Azhan Rani, Amir Nafis, Sara Ali dan ramai lagi.
Drama ‘Sembilan’ ini dijangka menemui penonton secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) pada bulan Februari 2019.
#pelakon #Luqman Hafidz #Pelakon #Sembilan
;