GAYA HIDUP

Kasut Seramik, Helmet & Nanas Emas Dari Chuck Taylor Antara Karya Seni Menarik Pameran Creative Exploration Converse

Amri Hassan 11/03/2025 | 16:59 MYT
Deretan hasil karya menarik telah dipamerkan menerusi inisiatif kempen Creative Exploration Converse Malaysia (Converse MY) dengan kerjasama Balai Seni Negara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysian Institute of Art (MIA) yang baru dilancarkan minggu lalu.
Dalam usaha untuk memperkasakan bakat seni muda negara, pameran itu menghimpunkan hasil seni yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar dari UiTM dengan menggunakan kasut jenis Chuck Taylor daripada jenama Converse sebagai bahan utama.
Antara yang menarik perhatian ialah kasut seramik yang dihasilkan oleh Syasya Zulaikha, Syaza Najwa, Syarifah Dalila dan Hamizah Fauzi dari bahagian Seramik Industrial UiTM.
"Teknik slipcasting digunakan untuk menghasilkan kasut seramik yang kemudian dipotong bagi mencipta reka bentuk yang unik. Separuh kasut seramik ini digabungkan dengan separuh kasut asal, yang disambungkan melalui jahitan.
"Tambahan pula, kasut Converse bersaiz kecil telah dibuka untuk menggabungkan elemen asal jenama ke dalam rekaan ini. Mentol lampu dimasukkan ke dalam kasut, mencipta pencahayaan dinamik, manakala tali kasut digunakan untuk menggantung karya ini pada struktur logam yang dikimpal," kongsi mereka.
Manakala, nanas emas yang dihasilkan oleh Wei Heng Art melambangkan Pekan Nanas daripada pengkaryanya sendiri.
"Karya seni ini membawa kenangan Pekan Nanas sebagai pusat penanaman nanas suatu ketika dahulu dan menyampaikan doa agar pekan ini terus makmur.
"Ong Lai bukan sahaja merujuk kepada nanas tetapi juga merupakan homofon bagi "旺来" dalam dialek Hokkien, yang bermaksud kemakmuran dan tuah.
"Saya menambahkan warna emas pada warna asal kasut yang hitam, di mana emas melambangkan kekayaan dan kemuliaan.
"Ini menggambarkan idea bahawa walaupun menghadapi kesusahan, seseorang masih boleh melangkah ke arah masa depan yang cerah, menyampaikan harapan tulus saya untuk kampung halaman dan keluarga saya," kongsinya.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Balai Seni Negara telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Hasil seni tersebut akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Feb hingga 12 April, sebelum karya terpilih diperagakan di cawangan utama Converse di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, Creative Exploration turut membantu meningkatkan kedudukan Balai Seni Negara sebagai hab seni kontemporari serta mempromosikan UiTM dan MIA sebagai institusi yang melahirkan bakat seni kreatif berkualiti.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen global LOVE, CHUCK, yang menggabungkan dunia fesyen dan seni bagi meraikan kreativiti tanpa batas.
#Kasut #UiTM #Converse #Pameran #Balai Seni Negara #Chuck Taylor