"Katalah Apa Yang Nak Dikata...Cercalah Sedaya Mana" - Ras Adiba Tak Benarkan Sesiapa Halang...

ZULHILMI JALIL
September 10, 2020 02:21 MYT
Bekas personaliti televisyen yang juga Senator Ras Adiba Radzi menyatakan pendiriannya untuk terus membela nasib Orang Kelainan Upaya (OKU) biarpun berdepan dengan pelbagai halangan.
Menurut Ras, apa yang pasti dia tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak untuk menghalang perjuangan insan yang senasib dengannya.
"Katalah apa yang hendak dikata, cercalah sedaya mana kerana saya ikhlas untuk sahabat-sahabat saya.
"Akan saya terus berjuang untuk mereka, kerana nyawa dan harapan mereka, adalah amanah paling besar yang pernah saya terima dan tiada saya benarkan sesiapa menghalang perjuangan anak-anak OKU negara," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Justeru, kata Ras dia memohon sokongan dan dorongan orang sekeliling untuk terus menjadi pembakar semangat buatnya.
"Misi saya hanya satu iaitu untuk perkasakan OKU. Masa saya kian suntuk, dan terlalu banyak yang perlu saya lakukan.
"Bila sahaja saya tersadung atau ditiup angin yang kencang, akan saya bingkas berdiri dengan semangat yang sukar dihalang.
"Jelas, Yang Esa sayang pada mereka yang meniup semangat umatNya. Bukan pada mereka yang menjatuhkan air muka atau membuka aib manusia," ujarnya.
Di ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut memberikan kata-kata semangat buat dirinya dalam meneruskan misinya membela nasib OKU.
Sebelum ini, penampilan Ras yang hadir di Parlimen turut mencuri tumpuan warga net yang terkejut dengan penampilannya yang tidak bertudung.
BACA: Buka Tudung Selepas Jadi Senator? Ini Jawapan Ras Adiba Radzi
#OKU #Ras Adiba