Juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar akui ‘tidak sebulu’ dengan pelakon Chubb-E sewaktu pertama kali dipertemukan dalam set penggambaran drama Projek: Anchor SPM.

Menurut Nadhir, dia merasakan kedua-dua mereka mempunyai ‘energy’ yang sama hingga timbul rasa persaingan dan rasa tercabar.

“Pertama kali jumpa saya pandang dia, dia pandang saya. Dalam hati macam ‘eh kau ingat kau style ke, kau ingat kau tahu semua benda ke’.

“Mungkin sebab pelakon lain dah macam senior, so saya dan Chubb-E je baru. Lagi pun dia muda daripada saya.

“Jadi timbul rasa pesaingan dekat situ,” katanya.

Jelas Nadhir, gaya penampilan mereka pada hari pertama juga hampir sama.

“Bila datang set, stail baju kami pakai pun lebih kurang sama.

“Cara kami pandang pun macam tak puas hati, macam saling berlawan. Memang agak intense la hari pertama tu.

“Cuma sehari je lah, after hari kedua kami dah rapat. Now dia pun antara paling baik dengan saya.

“Lawak and baik orangnya,” katanya ketika dihubungi Gempak, baru-baru ini.

Untuk makluman, menerusi Projek: Anchor SPM, Nadhir membawa watak Hilmi iaitu seorang ketua pelajar yang menjadi kesayangan pengetua Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA).

Chubb-E pula membawa watak botol iaitu seorang pelajar yang agak tenang, namun berperwatakan misteri.

Sejauh mana perjalanan mereka dalam Projek: Anchor SPM, anda perlu tonton drama premium terbitan Astro Originals yang ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin, jam 9.00 malam.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.