Pelakon jelita Rozita Che Wan berang dengan tindakan seorang pengacara lelaki yang sekali lagi memetik namanya dan anak perempuannya, Aaishah Dhia Rana dalam satu hantaran di media sosial baru-baru ini.

Jelas Che Ta, dia tidak tahu punca pengacara terbabit memuat naik hantaran sedemikian sedangkan kes melibatkan mereka sebelum ini sudah ditarik semula.

"Saya tak kisah dia maki saya nak jadi penyundal atau apa. Tapi, apa masalah kau dengan anak aku? Sembilan bulan 10 hari aku mengandung anak aku.

"Jentik pun tak pernah, marah pun tak pernah. Kenapa kau nak maki anak aku seperti itu? Kau pondan takde anak. Bukan bapa, bukan mak. Sedap-sedap nak cakap aku aku begitu.

"Dia belum buku bertemu dengan ruas lagi. Hari itu, aku baik, sebab Zain cakap, 'Sayang, I tak suka you gaduh'. Okay. Saya terima," katanya kepada Gempak.

Che Ta ditemui pada majlis tayangan perdana filem Mat Kola di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis bagaimanapun telah memadamkan hantaran terbabit selepas dinasihatkan oleh rakannya.

"Kawan saya ustaz, dia tegur dan tanya sama ada sekadar konten atau sedang marah.

"Sumpah memang saya marah dan dia pesan jangan layan sebab perangai kita akan jadi sama seperti orang itu.

"Kemudian saya padam dan memilih untuk berdiam diri tanpa beri sebarang komen walau ada yang datang mencari," ujarnya.

Terdahulu, seorang pengacara lelaki popular pernah memuat naik kenyataan negatif terhadap seorang aktres yang difahamkan sebagai Che Ta dengan menuduh dirinya disihir oleh pelakon tersebut.