Juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar berkongsi khabar duka apabila neneknya meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Perkara itu disahkan oleh pelakon Projek SPM itu selepas dihubungi Gempak, malam semalam.

"Betul nenek saya meninggal dunia Jumaat lalu akibat Covid-19. Alhamdulillah semuanya dah selesai.

"Mudah-mudahan ramai yang sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah nenek," katanya ringkas.

Terdahulu, Nadhir turut berkongsi berita pemergian neneknya itu menerusi satu posting di Twitter.
Menurut Nadhir, dia terkilan apabila tidak dapat bersama arwah di saat dia menghembuskan nafas terakhir.
“Al-fatihah buat nenda aku yang pergi disebabkan Covid. Manusia pergi itu normal. Ibu pergi tidak bersama anak anaknya di sisi itu tidak normal.
“Kau takkan faham kalau kau tak laluinya sendiri. Semoga ibuku kuat. Jaga diri semua,” katanya yang popular dengan watak Helmi.
Sementara itu, rata peminat Nadhir tampil memberi kata-kata semangat dan mengucapkan takziah atas kehilangan nenek tercinta.

Takziah Gempak ucapkan dan semoga roh nenek Nadhir ditempatkan dalam kalangan orang beriman