Hiburan
Kawalan Koronavirus Makin Ketat, Kapal Yang Pernah Berlabuh Di China Pun Tak Dibenarkan Ke…
Kawalan Malaysia berhubung penularan wabak koronavirus (COVID-19) semakin diperketat apabila kerajaan tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di pelabuhan negara China memasuki negara.
Menerusi laporan Astro Awani, keputusan itu susulan kes membabitkan seorang wanita warga Amerika yang juga penumpang dari kapal persiapan mewah MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja pada Khamis lalu disahkan positif koronavirus ketika memasuki Malaysia pada Sabtu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kesemua penumpang kapal berkenaan dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Seterusnya baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Kemboja adalah tidak dibenarkan memasuki Malaysia mengambil kira semua penumpang tersebut adalah kontak rapat kes yang disahkan positif terdahulu,” katanya.
Mengulas lanjut Wan Azizah berkata, aktiviti pengesanan kontak rapat di peringkat antarabangsa telah dijalankan serta-merta terhadap 145 penumpang kapal persiaran tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Februari lalu.
"Aktiviti tersebut, jelas Wan Azizah melibatkan komunikasi di peringkat Malaysia International Health Regulations (IHR) dengan National IHR Focus Points dari negara-negara lain yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19, semalam.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad.
Sumber: Astro Awani