Hiburan
"Kawan Ada Ketika Senang Sahaja" - Baim Wong Dedah Pernah Dibebani Hutang Tinggi
Aktor popular Indonesia, Baim Wong mendedahkan dia pernah mengalami detik sukar ketika gagal mempertahankan perniagaan restorannya pada tahun 2012.
Menerusi tinjauan Gempak di saluran YouTube Daniel Mananta Network, Baim mengatakan kegagalan perniagaan itu menyebabkan dia berhadapan bebanan hutang yang tinggi.
Malah ketika itu, dia turut dianggap sebagai penipu oleh rakan-rakannya.
"Pada tahun 2012, selepas Restoran Pablo tidak berhasil, saya dihimpit bebanan hutang yang banyak iatu 1.5 bilion Rupiah (RM425,205).
"Ketika itu saya tidak punyai wang, malah rakan-rakan turut menggelar saya seorang penipu, tetapi saya hanya jadi diri sendiri sahaja.
"Saya yakin di sebalik dugaan yang menimpa, pasti ada sesuatu hikmah di sebaliknya, saya tidak berdendam," katanya.
Tambah Baim, sejak kejadian itu, dia banyak meluangkan masa di rumah dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
"Sejak kejadian itu, saya tak tahu nak mengadu kepada siapa, tiada kawan untuk mengadu kesusahan kerana mereka hanya ada ketika senang sahaja.
"Jadi, saya banyak luangkan masa di rumah, solat, dan tidak keluar walaupun ke pusat membeli belah, lebih kurang tiga tahun saya jadi begitu," katanya lagi.
Terdahulu, Baim dan beberapa rakan artis pernah mengasakan Restoran Pablo pada tahun 2012, namun perniagaan itu tidak mampu diteruskan untuk tempoh masa yang panjang.
Must-Watch Video