Penyanyi Andi Bernadee kecewa apabila kawan baiknya sendiri sanggup menipu dan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah hampir RM70,000.

Sehubungan itu, Andi bertindak membuat laporan polis selepas beberapa pertemuan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku menemui jalan buntu.

“Tak sangka orang yang saya percaya sanggup buat begini pada saya. Dia bukan sahaja pecah amanah tetapi juga memfitnah saya.

“Paling sedih, dia juga memanipulasi perbualan WhatsApp saya dan hantar kepada pelanggan dan mereka percaya serta memindahkan wang ke akaun peribadinya.

“Saya kenal dia sejak tahun 2019 dan disebabkan percaya dia juga bertindak sebagai pembantu peribadi (PA), atas dasar percaya juga tak ada hitam putih dia sebagai PA saya.

"Kami berkawan baik. Dia pernah membantu saya sebelum ini. Saya beri kepercayaan kepadanya untuk menguruskan kerjaya, tetapi akhirnya, dia sanggup tipu saya," katanya dalam nada kesal.

Tambah Andi kes pecah amanah berjumlah hampir RM70,000 tersebut melibatkan bayarannya sebagai model baju Melayu untuk kempen Hari Raya dan lakonan.

"Wang itu hasil titik peluh untuk dua tugasan sepanjang tahun ini dan saya tak merasa langsung bayaran itu.

“Saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bayaran hasil kerja sejak awal tahun ini masih belum diterima.

"Jadi pada Julai lalu saya hubungi klien dan mereka kata bayaran sudah dijelaskan kepada individu terbabit sebelum Aidilfitri lalu.

“Saya ada berjumpa dengan kawan saya itu pada 15 Ogos (minggu lalu) untuk berbincang dan selesaikan perkara ini dengan cara baik tetapi dia tak bagi kerjasama.

“Dia sibuk main handphone, buat endah tak endah. Selama ini dia memberi pelbagai alasan termasuk pelanggan belum bayar lagi sedangkan mereka sudah berbuat demikian. Rupa-rupanya dia yang 'makan' duit itu.

“Kesal dengan sikapnya itu, saya memutuskan membuat laporan polis. Saya ambil tindakan ini kerana tidak mahu ada orang lain jadi mangsanya... Dia masih lagi aktif dalam industri seni," dakwanya.

Dalam pada itu, Andi berkata apa yang paling dikesalkan ialah apabila dia tidak dapat membantu keluarga di kampung.

"Pada era pandemik COVID-19 ini, saya perlu wang untuk menyara keluarga di kampung. Apatah lagi, saya ada adik yang masih bersekolah.

"Saya kalau boleh tidak mahu mak saya, adik-adik saya tahu saya sedang susah. Mereka perlukan saya. Saya perlu sara mereka.

“Jadi bila benda ni berlaku emosi saya terganggu dan saya sangat sedih," katanya.

Andi atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 29, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 10. 30 pagi tadi.

Dia turut ditemani pengurus, Nasir Deraman dan peguambela, Faizal Rahman dari Faizal Rahman & Co.