Umum mengetahui Apple merupakan syarikat pengeluar barangan komputer dan komunikasi yang popular dalam kalangan pengguna.

Baru sahaja mengumumkan penjualan siri iPhone 13 tidak berapa lama yang lalu, Apple sekali lagi mencuit kewarasan pengguna dengan pengenalan kain pengelap semalam yang berharga RM99 sehelai.



Menerusi laporan laman web The Verge, kain lap tersebut diperbuat daripada bahan yang lembut dan mempunyai logo rasmi Apple. Begitupun, tidak dinyatakan bagaimana kain berkenaan berbeza dengan kain-kain pengelap lain yang boleh didapati dengan harga lebih murah di pasaran.

Meninjau laman sosial Twitter, pengsohor teknologi popular, Xavier Naxa memberitahu yang kain berkenaan hanya menyokong model iPhone SE (2016) dan ke atas sahaja.

“Apple telah menjual kain pengelap bagi iPhone, iPad dan Mac pada harga RM99.00. Namun, berdasarkan keterangan, kain ini hanya menyokong iPhone SE (2016) ke atas sahaja.

“Bagaimana saya mahu mengelap iPhone 6 ke bawah? Kayangan betul kain dia,” tuturnya menerusi satu ciapan dalam nada berseloroh.

Pada ruangan balasan, ramai yang membuat jenaka mengenai kain pengelap berona putih berkenaan.

Ada yang mengandaikan bahawa kain berkenaan boleh mengubah mana-mana telefon bimbit Android menjadi iPhone dan ada juga yang meramal Apple bakal mengeluarkan kain pengelap Pro Max pula pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seorang pengguna pula Twitter secara spontan menciap: “Semakin menjadi ya Apple,” merujuk ciapan asal yang dihantar.

Apple memang cukup terkenal dengan pengenalan hal-hal aneh terhadap produk keluarannya. Menjadi pengeluar yang pertama memansuhkan bicu audio pada telefon bimbit pintar, Apple juga turut tidak menyertakan kepala pengecas pada telefon keluarannya sejak tahun lalu.

Sungguhpun mendapat kritikan terhadap hal-hal aneh tersebut, namun lucunya, ramai antara pengeluar telefon yang mengikuti jejak langkah Apple.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!