Sambutan Hari Raya Aidiladha gitaris legenda Man Kidal dan isteri, Norlaila Yusof berbeza tahun ini apabila mereka disahkan positif virus COVID-19.

Menurut anak kepada pasangan tersebut, Nur Syahira Rahman, 25, ibu bapanya kini menjalani kuarantin kendiri di kediaman mereka di bawah saranan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ibu bapa saya menjalani kuarantin di rumah, mereka hanya duduk di dalam bilik tidak bercampur dengan orang lain. Kami sentiasa menunggu arahan dari KKM jika perlu rawatan lanjut di pusat kuarantin.

"Pada mulanya, mama yang mengalami gejala demam dan batuk selama dua hari, kemudian saya memintanya lakukan swab test pada hari ketiga dan keputusannya positif.

"Setakat ini, ahli keluarga lain yang tinggal serumah masih belum disahkan positif wabak berkenaan. Saya sentiasa memantau keadaan mereka dengan panggilan telefon yang kerap," katanya kepada Gempak.

Difahamkan, Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood mengalami gejala beberapa hari selepas isterinya disahkan positif.

"Selepas beberapa hari mama disahkan positif, papa mula mengalami gejala dan terus melakukan swab test pada Isnin.

"Hasil keputusan turut positif dan keadaan papa lebih teruk berbanding mama, dia alami demam, menggigil dan tiada selera makan.

"Sekarang, keadaan mama pula sudah bertambah baik, hanya papa yang masih teruk, saya mohon orang ramai doakan kesembuhan yang cepat buat mama dan papa saya," tambah Syahira.

Dalam pada itu, Syahira memaklumkan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bersama ibunya juga terpaksa dihentikan sementara ketika ini.

"Sejak PKP tahun lalu, kami adik beradik tolong mana yang mampu, sekarang pun kita masih lockdown dan lama juga papa tiada job, jadi kami ada usahakan perniagaan kuih tart kecil-kecilan bersama mama.

"Namun perniagaan itu terpaksa dihentikan sementara ketika ini memandangkan papa dan mama dijangkiti COVID-19," katanya lagi.

Berita ini turut disiarkan dalam AWANI 7:45, untuk menyaksikan, klik di sini.